Daripada Jarum ke Piksel: Bagaimana Cip Semikonduktor Menukar Wajah Papan Pemuka Kenderaan

Oleh: Muhamad Nur Syahiran

Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik, Universiti Kebangsaan Malaysia

Cuba bayangkan anda duduk di dalam sebuah Kancil lama tahun 1990-an, kemudian keluar dan masuk pula ke dalam Perodua Ativa atau Proton X50 terkini. Perbezaan paling ketara bukan pada enjin atau bentuk badan kereta, tetapi pada sesuatu yang sering kita pandang sepintas lalu seperti panel meter di hadapan pemandu. Jarum logam yang dahulu bergerak perlahan mengikut putaran mekanikal kini digantikan dengan skrin berwarna-warni yang boleh menukar reka bentuk hanya dengan menekan satu butang. Di sebalik perubahan yang kelihatan kosmetik ini, sebenarnya tersembunyi salah satu cerita kejayaan terbesar teknologi semikonduktor moden.

Zaman Jarum dan Gear: Bagaimana Meter Analog Berfungsi

Meter analog tradisional bukanlah sebuah alat yang “lapuk” ia adalah kejuruteraan mekanikal yang bijak. Speedometer klasik, misalnya, disambungkan kepada gear box melalui kabel berpintal yang berputar mengikut kelajuan roda. Hujung kabel ini memutar sekeping magnet kecil di dalam meter, mewujudkan medan magnet berputar yang menarik cakera aluminium bersebelahannya berpandukan prinsip yang dikenali sebagai eddy current. Semakin laju putaran, semakin kuat tarikan itu, dan jarum pun bergerak mengikut skala.

Meter minyak dan suhu enjin pula sering menggunakan prinsip bimetallic strip yang merupakan dua jenis logam berbeza kadar pengembangan dicantumkan bersama. Apabila arus elektrik dari sensor tangki atau enjin memanaskan strip ini, ia melentur dan menggerakkan jarum. Sistem ini murah, tahan lama, dan tidak memerlukan sebarang cip komputer. Namun ia mempunyai had yang jelas: ketepatan terhad, tiada keupayaan memaparkan maklumat tambahan, dan bahagian bergerak yang lama-kelamaan haus.

Titik Peralihan: Mengapa Industri Berpindah kepada Digital

Peralihan kepada meter digital bukan berlaku semalaman. Ia didorong oleh tiga faktor utama yang saling berkait: kejatuhan kos cip semikonduktor, permintaan pengguna untuk lebih banyak maklumat, dan keperluan mengintegrasikan sistem keselamatan moden seperti ADAS (Advanced Driver Assistance Systems).

Sejak tahun 1970-an, mikropengawal (microcontroller) telah menjadi semakin murah dan berkuasa mengikut Hukum Moore yang mana bilangan transistor dalam sekeping cip berganda kira-kira setiap dua tahun. Apa yang dahulu memerlukan komputer sebesar bilik kini boleh dimuatkan dalam cip sebesar kuku jari, dengan kos yang mampu dimasukkan ke dalam kereta kelas rendah sekalipun. Inilah sebabnya kita kini melihat model tempatan seperti Perodua Axia varian AV dan Alza dilengkapi skrin TFT 7 inci sepenuhnya digital, manakala Proton Persona menawarkan paparan maklumat berbilang (multi-information display) TFT 3.5 inci yang pernah menjadi sesuatu yang mustahil dari segi kos hanya dua dekad lalu.

Anatomi Sebuah Meter Digital

Jika anda buka penutup belakang panel meter digital moden, anda tidak akan menjumpai kabel berputar atau strip logam. Sebaliknya, terdapat beberapa komponen semikonduktor bekerja secara harmoni:

Sensor. Speedometer digital menggunakan sensor Hall effect yang dipasang berdekatan roda gear. Setiap kali gigi logam melintasi sensor ini, ia menghasilkan denyutan elektrik kecil disebabkan gangguan pada medan magnet. Kelajuan kereta dikira daripada kekerapan denyutan tersebut dan bukan lagi daripada putaran mekanikal. Sensor suhu pula menggunakan thermistor, iaitu perintang yang rintangannya berubah mengikut haba.

Penukar Analog-ke-Digital (ADC). Isyarat daripada sensor pada asalnya adalah analog yang mana nilai berterusan seperti voltan yang naik-turun secara licin. Cip ADC menukar isyarat ini kepada bit digital (0 dan 1) supaya boleh diproses oleh komputer.

Mikropengawal atau ECU. Unit ini bertindak sebagai “otak” yang menerima data digital daripada pelbagai sensor (seperti kelajuan, putaran enjin, suhu, paras minyak)  lalu memprosesnya mengikut algoritma yang telah diprogramkan.

Cip Pemacu Paparan dan Skrin TFT/OLED. Akhirnya, data ini dihantar ke cip pemacu paparan (display driver IC) yang mengawal setiap piksel pada skrin TFT (Thin-Film Transistor) atau OLED (Organic Light-Emitting Diode). Setiap piksel sebenarnya adalah transistor semikonduktor mini yang boleh dihidup-matikan berjuta kali sesaat untuk menghasilkan imej yang kita lihat.

Rantaian daripada sensor hingga skrin ini bergantung sepenuhnya kepada industri semikonduktor. Oleh sebab itu, krisis kekurangan cip global pada tahun 2021 turut melumpuhkan pengeluaran kenderaan di seluruh dunia, termasuk beberapa pengeluar tempatan yang terpaksa menangguhkan penghantaran kerana kekurangan cip mikropengawal yang sama digunakan dalam panel meter.

Bukan Sekadar Cantik: Kelebihan Sebenar Meter Digital

Perubahan ini bukan semata-mata soal estetik. Meter digital membolehkan pemandu menukar susun atur paparan mengikut mod pemanduan, misalnya mod Sport yang menonjolkan takometer, atau mod Eco yang memaparkan kecekapan bahan api secara langsung. Ia juga boleh berintegrasi dengan sistem amaran perlanggaran, kawalan jelajah adaptif, dan bahkan peta navigasi kecil di tengah panel yang merupakan sesuatu yang mustahil dengan jarum logam.

Dari segi kejuruteraan, kekurangan bahagian bergerak bermakna kurang haus dan koyak jangka panjang. Kecerahan skrin juga boleh disesuaikan secara automatik mengikut cahaya sekeliling menggunakan sensor cahaya ambien, meningkatkan keselamatan pada waktu malam berbanding lampu latar tetap pada meter analog lama.

Cabaran yang Masih Wujud

Walaupun begitu, peralihan ini bukan tanpa cabaran. Skrin elektronik terdedah kepada haba melampau di dalam kabin kereta tropika seperti Malaysia, yang boleh mempengaruhi jangka hayat komponen jika reka bentuk terma tidak diuruskan dengan baik. Kos pembaikan turut meningkat,  jika satu papan litar bercantum (PCB) rosak, keseluruhan unit selalunya perlu diganti berbanding hanya menukar jarum atau motor kecil. Isu keselamatan siber juga mula dibincangkan kerana sistem yang lebih “pintar” secara teorinya lebih terdedah kepada gangguan digital berbanding sistem mekanikal yang tertutup sepenuhnya.

Ke Mana Arah Seterusnya?

Trend semasa menunjukkan industri automotif sedang bergerak ke arah “kokpit digital sepenuhnya” (full digital cockpit), di mana panel meter, sistem infotainmen, dan bahkan cermin sisi digital disatukan dalam satu ekosistem cip yang sama, dikawal oleh system-on-chip (SoC) berkuasa tinggi yang juga teknologi yang sebelum ini hanya wujud dalam telefon pintar unggul. Sesetengah kenderaan elektrik malah mula menggunakan paparan augmented reality pada cermin depan (head-up display), memaparkan arah navigasi terus pada pandangan jalan raya.

Kisah peralihan daripada jarum kepada piksel ini sebenarnya adalah cerminan kecil kepada revolusi semikonduktor yang lebih besar sama seperti kalkulator mekanikal digantikan kalkulator elektronik, dan filem kamera digantikan sensor imej digital. Di sebalik setiap tekaan pantas pada meter kelajuan kereta anda hari ini, terdapat berjuta-juta transistor kecil bekerja tanpa henti, menterjemahkan putaran roda kepada cahaya yang anda lihat sekelip mata.

Next
Next

Dari Kotak Gelap ke Cip Silikon: Perjalanan Dua Abad Menangkap Cahaya